JOM AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT SETIAP HARI

Kebiasaannya selepas waktu kerja, restoran mamak atau gerai-gerai tepi jalan pasti menjadi destinasi yang wajib saya kunjungi untuk mengisi perut, jelas seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman.

Menurut Aiman, sejak bekerja di salah sebuah bank di ibu kota tiga tahun lalu, dia tiada lagi bersenam atau mengamalkan gaya hidup sihat.

Kini, berat badannya telah naik lebih 20 kilogram dan berdasarkan jisim berat badan (BMI), dia mengalami obesiti. Semasa menuntut di universiti dahulu, saya seorang pelajar yang aktif dengan terlibat dalam aktiviti sukan. BMI saya ketika itu masih normal.

Setelah berkerjaya, saya sangat sibuk sehingga sukar untuk bersenam. Saya masuk kerja pada waktu pagi dan pulang ke rumah bila hari sudah malam, katanya.

Tambahnya, pada hujung minggu dia lebih gemar berehat di rumah atau mengunjungi kedai atau restoran untuk makan bersama rakan-rakannya. Aiman mengakui sejak berat badannya naik, dia mudah penat apabila melakukan sesuatu perkara yang memerlukan kekuatan fizikal.

Disebabkan itu, dia tidak berani melakukan pemeriksaan kesihatan kerana khuatir mengalami masalah-masalah kesihatan yang lain.

Kosmo! melaporkan, 73 peratus pekerja Malaysia tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan dengan sebahagian besar mereka mengalami masalah kesihatan.

Pemakanan tidak terkawal

Maklumat itu diperoleh daripada Program Saringan Kesihatan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kebanyakan mereka mempunyai masalah berat badan, kencing manis, tekanan darah tinggi dan kadar kolestrol tinggi.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ruzita Abd. Talib berkata, faktor pemakanan tidak dikawal menjadi salah satu punca yang mengundang masalah kesihatan kepada masyarakat di negara ini.

Menurutnya, pengambilan makanan yang tidak teratur dan tinggi kandungan minyak, lemak serta gula secara tidak terkawal boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan.

Masalah obesiti ini boleh menjadi punca kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan serangan jantung, katanya. Tambahnya, tabiat masyarakat yang gemar makan pada lewat malam juga menjadi salah satu punca masalah obesiti.

Jika diperhatikan pada lewat malam, ramai masyarakat kita mengunjungi restoran-restoran atau kedai makan. Kebiasaannya, setelah makan pada lewat malam, kita akan terus tidur dan makanan itu tidak akan menjadi sumber tenaga, sebaliknya ia tersimpan menjadi lemak.

Sebaiknya elak makanan yang berat dalam tempoh empat atau lima jam sebelum tidur,jelas Ruzita. Dalam pada itu, Ruzita berkata, golongan pekerja akan menikmati apa sahaja makanan yang dijual di kantin pejabat.

Jelasnya, kebanyakan makanan itu tinggi kandungan minyak, lemak dan gula. Mereka boleh makan apa sahaja tetapi biarlah secara sederhana. Membawa bekalan sendiri ke pejabat juga merupakan salah satu tindakan bijak kerana kita dapat mengawal makanan tersebut, ujarnya.

Tambahnya, untuk kekal sihat orang ramai bukan sahaja perlu mengawal pemakanan, sebaliknya perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam. Sementara itu, pakar motivasi dan kecergasan, Kevin Zahri berkata, untuk kekal sihat masyarakat perlu mengamalkan tiga perkara asas iaitu penjagaan makanan, mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa bersenam.

Menurutnya, perkara yang paling penting adalah pemakanan dengan mengamalkan makanan mengikut keperluan diri sendiri.

Amalkan gaya pemakanan seimbang dan sesuai dengan keperluan diri sendiri kerana ia dapat membantu seseorang mengawal berat badannya. Selain daripada mengamalkan pemakanan yang bagus, amalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Gaya hidup sihat dan aktif ini merujuk kepada pergerakan kita dalam seharian kerana ia membantu membakar kalori. Bagi mereka yang bekerja, tidak salah untuk meletak kereta jauh sedikit dari pejabat dan kemudiannya berjalan kaki, katanya.

Tambahnya, akhir sekali cuba luangkan sedikit masa untuk bersenam kerana ia sememangnya baik untuk kesihatan. Kevin berkata, pilih aktiviti senaman yang menyeronokkan yang mampu menghilangkan tekanan.

INI 10 TIPS TERBANG KELAS EKONOMI, SELESA MACAM KELAS PERTAMA

MENGEMBARA ke serata dunia dengan menaiki penerbangan kelas pertama atau perniagaan pastinya menjadi impian ramai orang. Namun, harganya yang tinggi kadang-kala menjadikan keinginan itu sekadar tinggal impian sahaja.

Pernahkah terfikir seandainya penerbangan tambang murah turut menawarkan kemewahan seperti penerbangan kelas pertama? Atau mungkin ada beberapa tip yang boleh anda ikuti bagi menjadikan penerbangan tambang murah turut selesa berbanding tiket kelas pertama.

Kali ini kami akan berkongsi beberapa tip berguna untuk memastikan anda selesa di dalam pesawat kelas ekonomi tanpa perlu berbelanja besar.

1.Bantal Leher

Kebanyakan penerbangan biasa tidak akan menyediakan bantal leher untuk penumpang mereka. Jadi, selesakan diri anda dengan bantal lembut yang membaluti leher bagi memastikan anda sentiasa selesa dan boleh tidur dengan nyenyak.

Malah, harganya juga tidak begitu mahal. Anda boleh mendapatkan bantal ini di serata kedai dan jika bernasib baik, anda boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM10.

2. Stokin compression

Sudah menjadi kebiasaan apabila anda mengalami lenguh-lenguh kaki dalam penerbangan yang panjang.

Jika anda tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan kelas pertama yang menawarkan ruang lebih luas bagi kaki anda, pakai sahaja stokin compression yang boleh mengelakkan anda mengalami lenguh dan kebas kaki.

3. Fon kepala

Sudah namanya penerbangan murah, anda akan berhadapan dengan pelbagai gangguan bunyi seperti tangisan bayi, penumpang yang banyak cakap dan sebagainya.

Untuk menjadikan perjalananan anda lebih tenang, apa kata dapatkan fon kepala untuk anda mendengar muzik.

4. Bawa bekal makanan

Sesetengah penerbangan menawarkan snek dengan harga yang agak berpatutan.Jadi, apa kata anda bawa bekal makanan kegemaran dalam beg galas anda ke dalam pesawat.

Nikmati hidangan yang dibawa seperti snek atau sandwich tanpa perlu berbelanja besar, malah kemungkinan makanan yang dibawa jauh lebih baik berbanding apa yang dijual oleh penerbangan itu atau jauh lebih enak berbanding yang dihidangkan di kelas pertama.

5. Penutup mata

Penutup mata berupaya menghalang cahaya supaya anda dapat tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan. Apa kata anda dapatkan penutup mata lembut yang diperbuat daripada fabrik baldu bagi memberi sentuhan kemewahan dan keselesaan tidur dalam penerbangan anda.

6. Muat turun filem kegemaran anda

Jika anda menaiki penerbangan mahal, anda pastinya mendapat kemudahan untuk menonton filem dan sebagainya. Namun, anda juga boleh merasai pengalaman itu menerusi penerbangan murah.

Anda boleh sahaja memuat turun filem kegemaran anda ke dalam peranti seperti telefon bimbit atau ipad dan menontonnya ketika sedang berada di dalam pesawat. Malah, filem yang telah siap dimuat turun tidak perlu menggunakan akses internet.

7. Kekalkan hidrasi tubuh anda

Badan anda perlu sentiasa cukup dengan bekalan air. Jika berada di dalam penerbangan, anda mungkin perlu berbelanja untuk mendapatkan minuman. Apa kata bawa botol minuman dan anda boleh mengisi air secara percuma di lapangan terbang.

8. Pilih laluan terbaik

Penerbangan anda pastinya akan lebih selesa dan fleskibel jika berupaya memilih laluan yang tepat. Contohnya, pilih laluan penerbangan yang lebih pendek dan kurang penumpang. Besar kemungkinan hanya ada beberapa orang sahaja di barisan tempat duduk anda. Ia pastinya dapat memberi keselesaan dan sedikit rasa privasi.

9. Kekalkan kebersihan dengan tisu anti bakteria

Penerbangan murah yang sentiasa dipenuhi ramai pastinya bukanlah tempat yang bersih di dunia. Jadi, sebaiknya anda bersihkan tangan dengan pengelap anti bakteria bagi mengelakkan sebarang serangan bakteria.

10. Pakai beberapa lapis baju

Suhu dalam pesawat kadang-kala terlalu panas, boleh jadi juga ia terlampau sejuk. Lebih selamat sekiranya anda memakai t-shirt dan baju panas.

Jika sejuk, boleh sarungkan baju panas. Jika suhu mengingkat, buka sahaja baju panas, anda masih ada baju t-shirt. Senang bukan. Dengan ini, perjalanan anda pastinya akan menjadi lebih selesa dan terasa mewah.

CARA BIJAK UNTUK ANDA MENYIMPAN WANG DEMI KELUARGA

Mari jadikan gol untuk membina kewangan keluarga anda yang lebih mantap dengan mengamalkan tip simpanan yang mudah dan praktikal ini.

Sebagai ibu dan ayah, kita sentiasa mahu berikan yang terbaik buat anak-anak. Ini termasuklah kestabilan dari aspek kewangan. Mari amalkan tip simpan duit berikut pada tahun ini dan lihat bagaimana ia membina profil kewangan yang lebih baik untuk keluarga anda.

Jika anda sudah pun mempunyai gol tahun ini untuk membina simpanan yang lebih baik untuk keluarga dan anak-anak, mungkin tip ini dapat membantu anda mencapainya.Jangan berbelanja terlalu banyak di pasaraya.

Anda perasan tak, kadangkala, walaupun sudah buat senarai barangan dapur yang mahu dibeli, anda masih lagi mengambil barangan yang tiada dalam senarai tidak diperlukan. Bagaimana kita boleh menyimpan duit jika kita sering terlajak berbelanja. Anda nak tahu bagaimana caranya untuk menahan diri dari berbelanja lebih di pasaraya.

Jangan pergi shopping ketika lapar. Bunyi seperti pelik, tapi itu faktanya. Anda lebih mudah membeli ketika lapar, menyangka anda memerlukannya. Selain itu, tunggu sehingga anda mempunyai 10 barangan dalam senarai, kemudian barulah pergi ke pasaraya. Anda juga dapat menjimat kos pengangkutan, minyak, tol, dan kos parking.Cuba memasak di rumah berbanding makan di luar.

Ya, ini adalah antara tip simpan duit yang kita selalu dengar, tapi berapa ramai yang telah mengamalkannya. Susun jadual harian kita dan tetapkan masa untuk memasak di rumah. Pada zaman yang serba mencabar dari segi ekonomi, makan di luar memakan kos yang tinggi.

Setiap wang yang anda jimatkan ketika memasak di rumah, simpannya dalam akaun savings. Anda pasti terkejut melihat berapa banyak simpanan anda di akhir tahun. Tahan diri dari guna kad kredit. Tip simpan duit ini amat penting diamalkan oleh mereka yang tidak berdisiplin dalam mengguna dan membuat pembayaran kad kredit.

Kad kredit memberikan manfaat kepada mereka yang tahu menggunakannya. Contohnya seperti potongan diskaun istimewa, rebat, atau cash back. Namun, buat mereka yang tidak pandai menggunakannya, ia boleh menjadi jerat kewangan yang serius.Jadi, pada tahun ini, sorok kad kredit anda dalam peti ais biar ia membeku keras dan tak boleh dicabut. Jangan gunakannya melainkan anda benar-benar terdesak.

Buat bayaran secara cash, ia lebih mudah untuk membuatkan anda berjimat kerana anda nampak cash anda di depan mata.Buat simpanan kecil-kecilan setiap hari. Mungkin ada antara kita yang merasa menyimpan duit sebanyak RM300 atau RM400 sebulan itu terlalu tinggi.

Jadi, antara tip simpan duit bijak yang boleh anda amalkan pada tahun ini adalah dengan menyimpan secara harian. Mungkin anda boleh menyimpan sehari RM1 atau RM2 dalam tabung. Pada hujung bulan, anda pasti tersenyum melihat simpanan cash yang ada.

Masukkan ia dalam akaun simpanan atau Tabung Haji pada hujung bulan.Ramai antara kita hanya berfikir tentang menyimpan wang tetapi sedikit yang mahu benar-benar menulis senarai gol kewangan mereka.

Dengan membuat senarai, lebih mudah dan praktikal untuk anda mengikuti setiap to-do list tersebut. Contohnya, tulis dalam buku nota anda.

Saya mahu menyimpan RM5 setiap hari dalam tabung Setiap ringgit yang saya jimat kerana tidak beli Starbuck, saya akan simpan dalam tabung. Saya akan membuka fixed deposit akaun dan tolak RM100 daripada gaji bulanan secara automatik. Saya akan simpan duit dividen ASB, bayar zakat dan hanya belanjakan 5% sebagai reward kepada diri.

Dengan senarai yang jelas sebegini, anda boleh ‘tick’ setiap to-do yang berjaya dijalankan. Anda pasti berasa puas. Jual apa yang anda tidak perlu. Cuba lihat sekeliling rumah anda. Ada banyak barangan yang anda tidak lagi guna dan perlukan. Jangan buang, sebaliknya jual dan simpan wang tersebut dalam tabung atau akaun simpanan.

Barangan mainan anak, stroller lama, baju lama yang masih elok, barangan elektronik yang tidak digunakan, ini semua barangan berharga yang boleh ditukar kepada cash. Jangan buang barangan yang masih boleh digunakan.

Lagi satu tip simpan duit adalah dengan mengelak daripada membeli barangan yang sama secara berulang-ulang. Contohnya seperti, beg Ziploc, bekas plastik, peralatan dapur, dan juga uncang teh. Semua ini boleh digunakan semula. Anda hanya perlu mencucinya sahaja. Setiap ringgit yang dijimatkan, anda simpan dalam tabung.Tukar gaya hidup.

Mungkin ada antara kita suka mengamalkan gaya hidup yang mahal. Apa yang dimaksudkan dengan gaya hidup mahal. Antaranya adalah seperti berikut dan kami berikan juga alternatif lain. Minum kopi mahal, tukar amalan membeli kopi franchis yang mahal kepada kopi segar yang anda brew sendiri di rumah.

Aktiviti di shopping mall, tukar amalan berbelanja di shopping mall di hujung minggu kepada melawat taman atau tempat aktiviti percuma. Percutian yang kerap, percutian memang diperlukan tetapi jika terlampau kerap, anda mungkin tidak dapat berjimat dan menyimpan. Amalkan staycation iaitu berehat dan melakukan aktiviti kegemaran di rumah.

Setiap pengorbanan dan pertukaran gaya hidup pasti membantu anda membina profil kewangan yang lebih stabil dan mantap untuk ahli keluarga anda. Mari amalkan tip simpan duit di atas dan selamat berjaya.

KENALI FILEM TENTANG WANITA PALING BERI INSPIRASI DAN MOTIVASI DALAM HIDUP

Adakalanya anda memerlukan hiburan untuk mencari sesuatu inspirasi, untuk mengatakan apa yang terpendam dalam hati, memberi keyakinan dalam meneruskan kehidupan. Dan hiburan itu dengan menonton filem.

Sama ada kita terinspirasi, bermotivasi atau terhibur dengan watak-watak yang dilakon oleh aktres kegemaran kita atau tidak tapi percayalah kebetulan atau tidak adakalanya lontaran dialog betul-betul ‘kena’ dengan situasi yang kita hadapi.

Di bawah adalah beberapa filem wanita yang mampu membuka minda kita dengan garapan cerita yang cukup sempurna bahkan membuatkan kita sentiasa yakin dan hargai diri sendiri.

The Help

Dialog dia cukup ringkas “You is smart, you is kind, you is important.” Tapi cukup membuatkan diri kita terasa istimewa dan lebih yakin mengharungi kehidupan. Terbaik!

The Help membuktikan bahawa persahabatan mempunyai kuasa untuk mencetuskan revolusi. Emma Stone sebagai Skeeter, seorang penulis yang menjadi kawan kepada pembantu rumah orang kulit hitam. Bersama-sama, mereka menulis satu buku mengenai perjuangan Afrika-Amerika pada 1960-an yang ketika itu berlakunya perkauman.

Legally Blonde

Kalau nak bicara tentang girl power, Legally Blonde sentiasa mendapat perhatian penulis.

Bercakap tentang ketabahan dan keyakinan, Elle Woods bermula di Harvard Law School sebagai salah seorang pelajar biasa yang dibuli sehingga berjaya menjadi Valedictorian. Dialog yang diucapkan Elle Wood di penghujung cerita memang win – “You must always have faith in yourself”.

Dia menunjukkan bahawa kita mesti sentiasa bersemangat untuk apa yang dilakukan dan percaya akan kemampuan diri. Dengan itu, kita boleh menakluk dunia.

Hidden Figures

Kerana warna kulit, kita tertinggal di belakang, kita dipandang serong, dihina, dilayan seperti sampah. Itu yang digambarkan dalam filem Hidden Figures.

Penulis ingin tekankan babak di mana Katherine menjerit kepada boss sebab dia sering tiada di tempat duduk dan ‘hilang’, semua itu kerana dia perlu berjalan jauh semata-mata untuk ke tandas yang dibuat untuk wanita berwarna dan bagaimana diskriminasi memberi kesan kepada pekerjaannya.

Pretty Woman

Biasalah bila masuk ke butik mahal kita akan dipandang dari atas sehingga bawah kerana merasakan kita tidak mampu untu kmembeli

Penulis cukup suka babak ini di mana Julia Roberts datang kembali ke butik mewah yang awalnya tidak mahu melayan dia hanya kerana lagak dan fesyen murahannya

ANTARA FILEM TENTANG WANITA PALING BERI INSPIRASI DAN MOTIVASI DALAM HIDUP. Lain kali jangan sesekali kita pandang orang sebelah mata kerana mana tahu dia lebih hebat dari pada kita semua. Bila anda layan orang dengan baik, nescaya kebaikan juga yang dibalasnya.

JOM BELAJAR PENGURUSAN MASA YANG DIAMALKAN OLEH MEREKA YANG BERJAYA

Pengurusan masa adalah sesuatu yang paling penting jika anda mahu berjaya. Anda tidak seharusnya membazirkan masa untuk sesuatu yang tidak berfaedah, dan perlu tahu untuk menguruskan masa dengan efisien.

Bahagikan Masa

Orang yang berjaya cenderung untuk berfikir untuk suatu tempoh jangka masa yang panjang. Elon Musk juga tiada bezanya. Dengan syarikat SpaceX dan Tesla, usahawan berwawasan itu dikatakan berjaya mengurangkan masa bekerja daripada 100 jam seminggu kepada 85 jam seminggu.

Beliau melakukannya dengan membahagikan waktunya kepada slot selama lima minit. Dengan memecah hari ke jadual yang kecil, Musk boleh memberi tumpuan kepada tugas sepenuhnya. Oleh itu, jadual merupakan satu kaedah yang penting dalam membahagikan masa secara sistematik.

Buang Yang Tidak Berfaedah

Dalam buku yang berjudul ‘The Ultimate Guide to Time Management,’ ahli perniagaan dan penulis terkenal, Tony Robbins menasihatkan pembacanya untuk menjaga masa mereka dengan cara yang sama mereka menjaga wang.

Pengurusan masa, sebagai sumber mesti dipelihara dengan mengelakkan diri daripada melakukan perkara tidak berfaedah. Beliau mencadangkan agar kita menukar masa kepada masa yang produktif dengan menggunakan segala peluang yang ada.

Sebagai contoh, jika anda nak sangat membaca tetapi tidak mempunyai masa, dengarlah buku audio (audiobook) semasa perjalanan harian anda atau dengan membaca di dalam LRT atau pengangkutan awam semasa hendak ke tempat bekerja. Tak pun, dengar semasa anda sedang joging atau bersenam. Manfaatkan masa anda sebaiknya.

Fokus Kepada 5

Orang yang berjaya cenderung untuk menjadi pakar dalam mengasingkan tugas-tugas yang penting untuk berjaya. Lima tugas, adalah nombor yang sering disebut. Menurut artikel yang tersiar di dalam Investment News, sifu pelaburan iaitu Warren Buffett ditanya oleh juruterbangnya untuk mendapatkan nasihat tentang kejayaan.

Buffett memberitahu juruterbang tersebut untuk membuat senarai 25 sasaran atau matlamat yang ingin dicapai pada tahun depan. Kemudian dia memberitahunya untuk memilih lima gol utama dan lupakan kepada sasaran atau matlamat yang lain.

Bercuti

Bercuti merupakan waktu yang mungkin kelihatan tidak masuk akal untuk mereka yang ingin berjaya, tetapi penyelidikan saintifik dan juga kepercayaan beberapa orang yang paling berjaya di dunia, menunjukkan bahawa percutian berkala membuat seseorang itu lebih produktif. Satu kajian baru-baru ini oleh Projek: Time Off mendedahkan bahawa lebih daripada separuh pekerja Amerika mengambil beberapa hari untuk pergi bercuti setiap tahun.

Kajian menunjukkan bahawa apabila sedang bercuti, kita akan rasa tekanan kerja yang lebih rendah dan peningkatan produktiviti. Menurut CNBC, Oprah Winfrey, Richard Branson, Ketua Pegawai Eksekutif Netflix Reed Hastings dan bekas CEO eBay, John Donahoe, kesemuanya menganggap percutian sebagai hack pengurusan masa yang sering diamalkan.

Bangun Awal

Bangun awal akan menjadikan anda lebih produktif. Anda akan berasa bahawa masa sangat mencukupi apabila anda bangun awal. Bagi seorang dewasa, anda hanya perlu 5 jam atau 6 jam tidur untuk mendapatkan rehat yang bagus selain pemakanan yang seimbang. Tim Cook, CEO syarikat Apple, bangun seawal jam 3:45 pagi untuk memulakan paginya.

Setiap Orang Ada 24 Jam Sehari

Jangan pula kita kata masa tidak mencukupi, sebab setiap orang diberikan masa 24 jam sehari. Terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya sebaik yang mungkin.

IDEA UNTUK ANDA MENGHIAS RUANG TAMU BERSAIZ KECIL

Menghias ruang yang kecil boleh menjadi agak mencabar. Di sini kami kongsikan idea yang boleh anda pertimbangkan dalam mendekorasi rumah anda.

Gunakan sofa 3 tempat duduk

Jika ruang tamu anda bersaiz besar, tidak salah jika anda mahu menghias ruang tamu anda dengan sofa tambahan. Namun, jika ruang tamu anda bersaiz kecil, hanya satu sofa tiga tempat duduk sudah memadai.

Boleh duduk ramai-ramai dan anda boleh baring juga di atas sofa ini. Jika letak kerusi tambahan, nanti ruang akan jadi agak sempit. Pokoknya, beli sahaja satu sofa tiga tempat duduk yang selesa.

Gunakan lampu lantai

Jika anda menyewa, menukar lampu siling mengikut citarasa anda agak leceh. Jadi, apa kata daripada anda beli lampu meja, untuk diletakkan di sebelah sofa atau anda beli saja lampu lantai. Anda boleh jimatkan ruang dan tentunya, kelihatan lebih chic.

Bantal cantik

Ruang yang kecil mungkin mengehadkan penggunaan warna yang anda boleh gunakan dalam menghias. Jadi, satu cara mudah untuk memberi sinar kepada dekorasi anda ialah dengan menghias menggunakan bantal cantik atau yang menyerlahkan personaliti anda.

Skip dekorasi aksesori-aksesori kecil

Aksesori kecil memang comel. Tapi, jika banyak sangat agak sakit mata dan serabut juga. Mahu mengemas pun agak susah untuk dilap satu persatu. Elakkan masalah ini dengan menggunakan hiasan akesori yang besar tapi minimal sahaja, mungkin seperti satu pasu yang diletakkan bunga segar untuk menyerikan ruang tamu anda.

Pemilihan langsir

Warna yang gelap jika tidak kena, boleh membuatkan ruang anda kelihatan kecil dan sangat suram. Jika anda mahu ruang anda kelihatan luas sedikit, cuba gunakan warna cerah.

Cermin

Gunakan cermin yang besar untuk menambah ilusi keluasan ruang untuk ruang tamu anda.

ANTARA WAKTU PALING TEPAT UNTUK ANDA EDARKAN KAD UNDANGAN

Kamu dah ada satu tarikh kahwin tapi tak tahu bila masa yang sesuai membahagikan serta mengedarkan kad kahwin kepada tetamu undangan. Proses mengedarkan kad kahwin boleh menjadi sesuatu yang kelam-kabut jika tidak dirancang dengan sebaiknya. Ini tips yang boleh kongsikan bersama kamu wahai bakal-bakal pengantin yang dikasihi.

ENAM BULAN SEBELUM KAHWIN
Setahun hingga enam bulan sebelum tarikh resepsi adalah waktu paling tepat untuk kamu pergi menempah kad perkahwinan. Ini kerana syarikat yang mencetak kad kahwin biasanya memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menyiapkan kad kahwin yang berjumlah 300 hingga 500 keping.

Jadi, jangan asyik menangguh masa untuk menempah kad kahwin. Ini bagi memastikan tiada kesalahan yang dilakukan pihak pencetak. Adalah menjadi tanggungjawab bakal pengantin juga menyemak kembali draft kad kahwin yang disedikan pihak pereka kad kahwin. Pastikan setiap ejaan betul, struktur peta tepat serta tarikh dan masa tersusun secara sempurna. jika sudah terlanjur kad kamu dicetak dengan ejaan yang salah atau peta yang tidak tepat. Ini bakal memberi kerugian buat kamu kerana bukan murah kos menempah kad kahwin.

SEBULAN SEBELUM MAJLIS
Mula edarkan kad kahwin kepada saudara-mara dan kenalan rapat sebulan sebelum majlis pernikahan atau resepsi. Waktu ini paling sesuai untuk menghantar kad kahwin kepada saudara dan kenalan kamu yang berada di luar kota.

SEBULAN HINGGA DUA MINGGU SEBELUM MAJLIS
Mula edarkan kad kahwin kepada saudara-mara dan kenalan lain yang tinggal berhampiran kamu sebulan atau dua minggu sebelum kahwin. Kenalan di pejabat.

Jangan terlalu cepat memberi undangan kepada mereka kerana takut mereka akan terlupa tarikh resepsi kamu seterusnya tidak hadir nanti. Tempoh dua minggu sebelum majlis itu adalah paling sesuai dan sekurang-kurangnya mereka boleh merancang dan menyusun jadual mereka awal-awal.

Walaupun ramai bakal pengantin tidak mengambil berat tentang proses pembahagian undangan ini, ia sebenarnya sangat penting agar majlis berjalan dengan lancar.

ANAK KUCING INI TELAH DISELAMATKAN DAN MENEMUI ABANG ANGKAT YANG MIRIP DENGANNYA

Kenali Unagi, seekor anak kucing yang diselamatkan kini hidup bahagia dan telah bertemu dengan ‘abang angkat’ yang kelihatan mirip sepertinya.

Pada Jun lalu, Unagi telah dibawa ke pusat kawalan haiwan yang terletak di Yamaguchi Prefecture, Jepun. Keadaan Unagi telah disedari oleh seorang wanita.

“Saya melihat dari laman sesawang secara kebetulan ketika sedang bekerja dan mendapati anak kucing itu kelihatan seperti kucing saya, Suzume. Selain itu, anak kucing hanya dibenarkan untuk tinggal di pusat haiwan selama seminggu sahaja.”

Jadi pada 26 Jun, wanita ini memutuskan untuk mengambil cuti dan terus memandu ke Yamaguchi bagi menyelamatkan Unagi. Dia memulakan perjalanan dari jam 4.30 pagi dan akhirnya berjaya membawa Unagi pulang ke rumah baharunya.

Pada awalnya, Unagi kelihatan sangat takut dan gementar. Jadi, Unagi hanya duduk di dalam sangkar.

“Unagi baru berusia 2.5 bulan dan seberat 860 gram.”

Sama seperti Unagi, Suzume turut mempunyai kisah yang lebih kurang sama. Suzume telah diselamatkan oleh tuannya dan sejak itu, mereka hidup bahagia bersama.

Apabila setibanya di rumah, Suzume yang mendengar bunyi mengiau dari ruang tamu terus berlari untuk melihat siapa yang dibawa pulang oleh tuannya itu.

Setelah melihat wujudnya seekor anak kucing lain, Suzume dan Unagi mula membentuk hubungan untuk memperkenalkan diri. Setelah kedua-duanya mula membiasakan diri, mereka mula berinteraksi dan membentuk perhubungan yang lebih rapat. Lama-kelamaan, Unagi yang semakin selesa mula mengikuti ke mana sahaja abang angkatnya itu pergi.

Apabila si abang berehat di atas rak, Unagi akan cuba memanjat untuk berpelukan bersama Suzume. Apa yang membuatkan kisah ini semakin comel adalah apabila Suzume tidak pernah menunjukkan rasa tidak selesa atau marah terhadap si kecil itu.

Sesempit mana pun, Suzume akan tetap melayani kerenah adiknya itu dengan baik. Malah, Suzume akan cuba memberikan ruang buat Unagi agar kucing ini dapat berpelukan dengan abangnya.

Suzume turut meluahkan kasih sayangnya dengan menjilat bulu Unagi dan menjaganya seperti seorang abang yang baik. Mungkin kerana Suzumen sendiri seekor kucing yang diselamatkan, jadi Suzume faham dan mengetahui apa yang si kecil itu perlukan iaitu kasih sayang dan keluarga.

Dalam masa beberapa minggu sahaja, kedua-dua kucing comel ini menjadi akrab dan sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan lagi. Malah, mereka juga kelihatan seiras, Memang pasangan yang sesuai.

TANDA TANDA ANDA SUDAH BERSEDIA KE ALAM PERKAHWINAN

Kita sebagai manusia ada yang bersifat ego yang sering menidakkan perkara yang terbuku didalam hati.

Banyak perkara yang kita ketepikan kerana ego. Termasuklah bila bab disoal sedia atau tidak untuk berkahwin, berani kerat jarilah ramai yang kata ‘maaf, I belum bersedia’. Padahal memang dah tak sabar nak kahwin tapi malu takut dikatakan gatal.

Jika anda, seorang wanita yang sudah bekerja, plus dah ada teman lelaki kacak bergaya penuh dengan sifat bertanggungjawab, kasih sayang. Apa lagi nak ditunggu-tunggu, Inilah masanya untuk jerit ‘YES! I’M READY!!’

Kenapa anda sudah bersedia? Ini lah sebabnya.

Mula merancang pertemuan keluarga

Sedar tak sedar, anda dan si dia mula berbicara soal untuk temukan dua belah keluarga. Berkongsi tentang peranan keluarga masing-masing dan bilakah masa yang sesuai. Sebelum ini pun, anda juga pernah bersua muka dengan keluarga si dia. Jadi tidak timbul rasa jangga untuk menemukan kedua-dua keluarga. Kalau anda rasa okay, pasti begitu juga dengan keluargamu.

Berangan-angan tentang hari majlis

Setiap malam sebelum tidur, anda mesti tersengih seorang diri mengangankan diri anda sebagai seorang pengantin. Amboi yang ini sampai boleh ditegur rakan sebilik, dah macam kerang busuk sengihnya. Bayangkan, bila lafaz nikah telah dilafazkan, degupan jantung anda laju seperti sudah berada di saat itu. Kalau dah berangan sampai ke tahap itu, apa maksudnya? Tak sabar lah lettew nak kahwin!

Hanya berbual mengenai isu perkahwinan

‘Nanti dah kahwin’, ‘nanti kena tinggal satu rumah’, ‘nanti bila nikah’. Ada sahaja mengenai hal perkahwinan ingin dibualkan dengan pasangan. Tidak pun bila keluar bersama teman karib, isu perkahwinan pasti menjadi topik utama anda. Bermacam tips dan pantang-larang tentang alam perkahwinan anda cari di internet. Senang cakap separuh dalam kepala anda hanya soal kahwin sahaja.

Mempunyai simpanan untuk majlis

Bila wang ringgit bukan lagi masalah yang perlu anda fikirkan. Simpanan yang ada sudah cukup atau masih lagi ditambah-tambah seperti sedia kala. Penulis risau kalau anda terguna wang itu untuk perkara yang tidak berfaedah pula. Baik guna sebaik-baik dirancangnya.

Sudah mengenal pasti perancang perkahwinan atau butik pengantin

Pantang nampak posting butik pengantin atau baju pengantin di Facebook terus anda simpan di bahagian ‘saved’. Anda mula mencari lokasi majlis, bakal perancang perkahwinan dan pilihan jurusolek untuk andaman majlis nanti. Bila ditanya kenapa, alasan senang nanti bila dah sedia semua dah lengkap.

Pening setiap kali bila berjauhan dengan si dia

Masalah, masalah, masalah, Orang suruh kahwin, tak mahu. Bila kekasih kerja di luar kawasan mula lah moody sepanjang masa sampai rakan sepejabat pun kena tempias. Cukuplah dengan sikap mengada itu, bawalah ke fasa yang seterusnya. Nak meroyan ke, merengek ke orang akan faham, sebab rindu suami bukan kekasih.

Lebih baik anda mengaku, anda memang nak kahwin kan sekarang? Mulut tu kalau boleh tak payah beri alasan tak sedia lagi! Bosan okay.

KUCING BERWAJAH GARANG MEMBUATKAN SETIAP KAKITANGAN HOSPITAL MENYAYANGINYA

Saul dijumpai pada pertengahan Oktober di jalanan London dalam hujan, cedera dan memerlukan bantuan. Seorang lelaki melihatnya dan dengan cepat menghubungi RSPCA, di mana mereka menghantar pegawai pengumpulan haiwan untuk menyelamatkan Saul dan membawanya ke Hospital Haiwan Putney RSPCA.

“Saul berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan … mata dan hidungnya kelihatan sangat teruk,” kata Caroline Allen, pengarah veterinar London untuk RSPCA. “Kami percaya Saul terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana kami mendapati rahang, gigi dan sebelah matanya cedera.”

Saul sakit dan kelihatan dalam keadaan yang teruk apabila tiba di hospital, dan keutamaan pertama setiap orang ialah merawatnya dengan secepat mungkin. Sebagai kakitangan yang merawat Saul dan apabila Saul kelihatan perlahan-lahan mula sembuh, mereka tiba-tiba melihat sesuatu yang sangat unik tentangnya.

Tidak kira apa emosinya atau bagaimana perasaannya, wajah Saul sentiasa penuh garang.

Kakitangan di hospital tidak pasti jika wajahnya yang garang disebabkan oleh kecederaannya yang lalu atau sejak dilahirkannya wajahnya memang begitu. Apabila semua orang mengenali Saul dengan lebih baik, Saul membuktikan dirinya sebagai kucing yang paling manja, paling menyayangi – tetapi anda tidak akan dapat menekanya berdasarkan wajahnya yang garang.

Sama ada Saul dipeluk dengan salah seorang kawannya …atau sedang memerhati apa yang berlaku di sekelilingnya, wajah Saul tetap kelihatan garang. Dan kadang-kala Saul juga suka menjelirkan lidahnya.

“Walaupun memiliki wajah yang garang, Saul sebenarnya sangat manja dan mesra,” kata Allen. “Saul pulih dengan baik dari kecederaannya dan kami berharap Saul tidak lama lagi akan bersedia untuk bergerak ke pusat perlindungan kucing kami di Southall untuk mencari rumah baru.”

Semua orang di hospital dengan cepat jatuh cinta dengan Saul dan penampilannya yang unik. Apabila Saul sembuh dan bersedia untuk dipelihara, mereka tahu tidak lama lagi terdapat keluarga yang akan jatuh cinta dengannya juga.

“Kami pasti seseorang akan jatuh cinta dengan kucing yang kelihatan seperti ini. Malah, kami fikir Saul boleh menjadi ‘selebriti’,” tambah Allen.